Isnin, 5 Oktober 2009

Maqam Syeikh Mustafa Ismail 1905M-1978M


Nama penuh Syeikh Mustafa Ismail ialah Mustafa Muhammad Al-marsa Ismail. Lahir pada 17 jun 1905 di kampung Mait Ghazal di Tonto Mesir.

Beliau mula menghafaz al-quran pada usia 6 tahun, dan tamat pada usia 10 tahun bermula di madrasah al-quran Syeikh Abdul rahman Abu Ainin selama 2 tahun dan selesai menghafaz di madrasah Syeikh Abdullah Syahatah selama 2 tahun.

Seterusnya beliau menyambung pengajiannya ke madrasah Syeikh Muhammad Abu Hasyis dan Syeikh Idris Fahkir. Disana Syeikh Mustafa belajar ilmu tajwid dan ilmu qiraat selama 8 tahun dan telah murajaah al-quran dengan Syeikh Idris Fakhir sebanyak 30 kali khatam al-quran, ketika itu usia beliau 16 tahun pada tahun 1917M. Kejayaan beliau mengahafaz al-quran, belajar ilmu tajwid dan juga menguasai ilmu qiraat saba' atau asyar selama 2 tahun, adalah satu kejayaan yang cukup besar untuk peribadi beliau dan untuk syeikh Idris Fakhir, kerana beliau merupakan Syeikh terakhir yang membimbing Syeikh Mustafa dan dapat menyempurnakan usul al-qiraat dan tajwid dengan lebih diyakini.

Pada tahun tersebut (1917M), beliau menyambung lagi pengajian beliau di Maahad Al-Quran al-ahmadi Tonto untuk mendalami lagi ilmu alquran khususnya ilmu tajwid, ilmu Qiraat, ilmu fekah dan ilmu tafsir dibawah bimbingan salah seorang syeikh beliau bernama Syeikh Almarwaj. Pada waktu itu, Syeikh Mustafa Ismail telah pun memakai pakain berserban, berjubah dan berselindang, yang belum pernah dipakai oleh mana-mana hafiz ketika itu. Peribadi beliau seperti seorang Syeikh Kabir.

Pada tahun 1920, pada usia 19 tahun, maka bermulalah episod yang lebih mencabar dalam diari hidup beliau dalam mengharungi pahit getir bergelumang dengan perjuangan al-quran. Selama hampir 6o tahun, beliau mengharungi cabaran sebagai seorang qari dan qurra'. Sepanjang itulah, beliau tidak pernah luntur untuk membaca al-quran dimana-mana sahaja sebagai satu daripada usaha dakwah untuk menyebarkan al-quran, sehingga apabila orang-orang kafir di eropah mendengar, mereka memeluk islam, dan sanggup menaja berpuluh ribu ringgit dengan menjemput syeikh mustafa serta menghantar kapal terbang khusus pergi/balik demi mendengar bacaannya.

Bacaan Syeikh Mustafa Ismail sempat dirakamkan sebanyak 59096 jam, tetapi yang ada hari ini jumlah yang terlalu kecil iaitu 300 jam sahaja, manakala bakinya entah hilang kemana???

Beliau mempunyai pengikut yang paling ramai di dunia serta bacaan beliau sangat berpengaruh kebanyakannya di eropah, afrika, timur, dan asean. Pengaruhnya di Malaysia sangat kuat, dan telah melahirkan ramai qari-qari yang hebat.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1978M, sekembalinya dari membaca al-quran untuk perasmian masjid baru di wiliyah Dumyat di Mesir. Semoga allah taala mencucuri rahmatnya, dan kita mengambil manfaat daripada apa yang telah ditinggalkan kepada kita semua..Amin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan